Saturday, December 14, 2024
Home Seni Hidup Karnival Kerjaya Selangor tawar 7,000 peluang pekerjaan

Karnival Kerjaya Selangor tawar 7,000 peluang pekerjaan

Karnival Kerjaya Selangor 2023 akan diadakan bermula esok selama dua hari di Klang.

KUALA LUMPUR – Berita baik buat  mereka yang sedang mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran apabila dipelawa untuk berkunjung ke Karnival Kerjaya Selangor 2023 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, V. Ganabatirau berkata, lebih 7,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan dalam karvinal program yang berlangsung di Dewan Hamzah, Klang.

Menurutnya, karnival anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia dan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) itu akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dengan lebih 30 majikan termasuk Astro, Westport dan Maybank yang akan menyertai karnival berkenaan.

“Peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan termasuk sektor pembuatan, perkhidmatan, perbankan, pengendalian makanan dan hospitaliti.

“Mereka yang sedang mencari pekerjaan disaran untuk membawa resume masing-masing sebagai persediaan

“Bagi memudahkan urusan semakan dan khidmat nasihat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga membuka booth di karvinal tersebut dan orang ramai juga boleh mendaftar melalui pautan https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/ ,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Ganabatirau memberitahu, UPPS yang baharu dua tahun ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja bagi membantu mereka yang terjejas sumber pendapatan akibat Covid-19, setakat ini berjaya menempatkan 2,500 pekerja di syarikat-syarikat seperti Sony dan Panasonic.

Di bawah UPPS kata beliau, fokus utama kerajaan adalah tertumpu kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Meskipun misi utama UPPS adalah untuk membantu pekerja-pekerja di Selangor yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19, namun ia terbuka kepada semua yang sedang mencari pekerjaan.

“Kita mahu semua sama-sama kembali mendapatkan pekerjaan yang sesuai bagi menempuh kehidupan mendatang,” ujarnya.

Ganabatirau menjelaskan, selaras dengan visi UPPS, pada tahun lalu Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja melaksanakan memberi caruman PERKESO kepada pekerja gig seperti Grab dan Food Panda selama setahun.

“Bagi tahun ini, memandangkan kita akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), kami memutuskan untuk membantu 500 pekerja gig untuk membuat pencaruman bagi fasa pertama,” jelasnya.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan Selangor menerusi UPPS memberi bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal kepada 100 pekerja P-hailing dalam program Bikecare-1000.

“Inisiatif ini ditumpukan untuk membantu 100 warga Selangor yang ingin berkhidmat dan sedang berkhidmat dibawah sektor p-hailing yang memerlukan bantuan untuk memiliki motorsikal dan mengendalikan tugasan harian mereka bagi menjana pendapatan.

“Program ini khas untuk mereka yang menganggur dan ingin meceburkan diri dalam sektor p-hailing dimana kerajaan negeri akan membantu mereka dengan subsidi bayaran pendahuluan, insurans dan pemprosesan pinjaman dengan jumlah bantuan sebanyak RM1,000 untuk setiap pembelian motorsikal dan memulakan kerjaya dalam sektor p-hailing,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast