SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak beberapa bekas menteri pentadbiran terdahulu yang mendakwa Amazon Web Services (AWS) berminat melabur di negara ini kerana jasa mereka.
Beliau berkata, syarikat gergasi antarabangsa itu hanya berbuat demikian setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk.
Pada masa yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan tidak menafikan ada pihak yang cuba memujuk AWS supaya melabur.
“Mengapa Amazon tak jawab? Dia jawab hanya setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk dan kita stabil, dia datang ke sini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau menambah, pengumuman berhubung pelaburan AWS itu adakan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Anwar berkata, pembukaan pusat data AWS di Johor, Petaling Jaya dan sebuah negeri lain itu akan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan.
Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan tambahan peruntukan pembangunan hampir RM1 bilion bagi Negeri Sembilan.
Menurut beliau, antara projek tersebut adalah pembinaan jalan susur dari tol baharu Seremban (Lekas) ke Jalan Lingkaran Tengah Seremban dengan kos RM600 juta.
“Selain itu, pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelanduk dengan Sungai Pelek, kos RM120 juta,” jelasnya.
Anwar menambah, turut diluluskan adalah projek membaik pulih sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas dengan peruntukan RM280 juta.
Beliau juga mengumumkan isu melibatkan pemilik 891 unit Residensi PR1MA Seremban yang berpanjangan sejak 2015 kini selesai dan mereka boleh memasuki kediaman masing-masing Jun ini. – MalaysiaGazette