Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan) dan Datuk Seri Wan Rosy Wan Ismail (kiri) semasa pelancaran buku "Dewan Negeri Pahang: Memacu Legasi Perlembagaan" malam ini.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melancarkan buku “Dewan Negeri Pahang: Memacu Legasi Perlembagaan” malam ini.

Buku mengenai Dewan Negeri (DUN) Pahang itu dilancarkan pada majlis santapan bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-2 persidangan Dewan Negeri Pahang Ke-15 hari ini.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosy Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifi Yaacob dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri, Lee Chin Chen.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan) dan Datuk Seri Wan Rosy Wan Ismail (kiri) semasa pelancaran buku “Dewan Negeri Pahang: Memacu Legasi Perlembagaan” malam ini.

Ia merangkumi pelbagai aspek termasuk sejarahnya, kehalusan adat-istiadat dewan, peranannya dalam pengurusan negeri dan kepentingannya dalam landskap politik Malaysia.

Buku itu juga merangkumi pengenalan mengenai salasilah keluarga diraja Pahang termasuk koleksi foto yang mengagumkan dari awal penubuhan DUN Pahang.

Sesuai dengan tajuk kecilnya, ‘Memacu Legasi Perlembagaan’, buku itu juga melampirkan pencapaian dan kemajuan negeri Pahang yang berteraskan kebijaksanaan Sultan serta khidmat bakti belasan generasi Ahli DUN Pahang dalam membina negeri berlandaskan Perlembagaan Malaysia.

Projek penghasilan naskah itu dimulakan pada November 2021, memaparkan hasil penyelidikan dan himpunan maklumat dari pelbagai sumber termasuk Keluarga Diraja Pahang, arkib berita dan foto, mantan-mantan Ahli Dewan Negeri, muzium di serata Pahang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jabatan-jabatan sejarah dan pelbagai agensi lain.

Diterbitkan oleh Bahagian DUN & Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, projek buku ini telah diterajui mantan Yang di-Pertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad. – MalaysiaGazette