Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir bagi menyaksikan Tayangan Perdana Filem Anwar The Untold Story di Pavilion Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersentuh dengan filem Anwar: The Untold Story yang mengangkat kisah perjuangan politiknya.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, walaupun keseluruhan dialog dan penceritaan filem itu tidak 100 peratus sama namun isu yang dibangkitkan dalam karya berkenaan adalah kejadian sebenar.

“Saya sukar mengulas kerana ada episod yang telah kita lupakan kerana sakit dan menyedihkan. Banyak beban tertanggung adalah Azizah, anak-anak dan rakan-rakan,” katanya.

Jelas Anwar, beberapa babak dalam filem biopik Anwar The Untold Story antaranya adalah babak dalam tahanan lokap polis dan beberapa babak bersama Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah benar.

Beliau berkata, babak seperti di dalam lokap sudah diketahui umum dan pernah dilaporkan media.

“Perbualan itu panjang tapi dirumuskan tepat. Kalau dirumuskan, tidak boleh 100 peratus tepat tapi konteks itu betul.

“Petronas untuk tebus syarikat KPB (Konsortium Perkapalan Berhad)? Itu sudah umum mengetahui,’ katanya dalam sidang media selepas menonton tayangan perdana filem berkenaan bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail malam tadi.

Hadir sama menyaksikan filem biopik pada majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem berkenaan adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Pengasas dan Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika hadir bagi menyaksikan Tayangan Perdana Filem Anwar The Untold Story di Pavilion Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

Dalam filem berkenaan, ada babak dipaparkan adegan Anwar yang dilakonkan pelakon popular negara, Farid Kamil ketika Dr Mahathir mahu Anwar meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tahun 1998.

Babak di mana Dr Mahahtir mengarahkan Anwar untuk menebus syarikat KPB turut ditayangkan dalam filem berkenaan.

Watak Dr Mahahtir Mohamad dibawa pelakon, Hasnul Rahmat.

Untuk rekod, Anwar The Untold Story menceritakan tentang perkara yang berlaku terhadap  Anwar Ibrahim sekitar 1993 hingga 1998.

Filem yang dirakamkan di Indonesia menceritakan mengenai perjalanan hidup Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta perjuangannya dalam menentang amalan rasuah.

Dalam pada itu, babak dalam tahanan lokap polis, jelas Anwar ditambah baik bagi memberikan impak kepada penonton.

“Babak lokap itu diketahui sebab diketahui sebab ramai yang masuk lokap tapi tidak semuanya sama sebab lokap mulanya tidak ada sinki.

“Dari satu sudut lokap sebenarnya lebih parah dan gelap sepanjang masa bertujuan untuk menyeksakan,” katanya.

Anwar berkata filem ini memberikan fokus utama kepada aktiviti memerangi rasuah yang menular ketika itu.

“Filem ini dibuat sebelum saya jadi Perdana Menteri, proses suntingan dibuat sebelum itu dan lagu temanya adalah selepas itu. Saya beritahu Finas beri kebebasan kepada sesiapa sahaja, jangan hanya sebut pasal Anwar tapi individu lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pelakon, Farid Kamil selepas sidang media mengenai Tayangan Perdana Filem Anwar The Untold Story di Pavilion Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

“Sama ada impak politik atau tidak itu tidak penting, ini perlu diceritakan mengenai perjuangan menentang rasuah,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, dengan adanya filem ini, ia mampu menangkis semua persepsi negatif yang pernah dilemparkan terhadap Anwar.

“Anwar selama 23 tahun dilabelkan sebagai banduan yang tidak mempunyai moral yang baik, ini terhakis semua. Ini yang saya rasa salah satu tujuan yang kita nak sampaikan,” katanya dalam sidang media sama.

Pengarah filem Anwar The Untold Story, Viva Westi berkata, hampir 70 peratus kisah dalam filem tersebut menggambarkan keadaan sebenar sementara selebihnya diolah agar menjadi lebih dramatik dan sesuai untuk tontonan umum.

Filem ini pada mulanya berdurasi 180 minit sebelum dipotong menjadi 100 minit dan akan menemui penonton pada 18 Mei depan.

Filem terbitan Bianglala Entertainment itu turut dibintangi oleh Acha Septriasa sebagai Datin Seri Wan Azizah dan dibantu oleh Piet Pagau dan Dewi Irawan selain menelan belanja sekitar RM10 juta. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. saya suka berita yg sahih yg di sampaikan oleh MG. terima kasih byk2…. MG sgt terbaikkkk

Comments are closed.