Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pengendali skuad B-22 Malaysia, E. Elavarasan mengakui keadaan permukaan padang serta cuaca hujan sepanjang perlawanan menjejaskan rentak permainan pasukannya yang menyebabkan anak buahnya tewas 1-2 ke Vietnam dalam aksi kumpulan di Sukan SEA Kemboja malam tadi.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan perjalanan skuad negara gagal ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan iaitu bertemu Singapura.

“Kita memang sasar untuk paling kurang pergi ke perlawanan akhir, jadi standard yang kita tunjuk (berdepan Vietnam) sepatutnya kita kena ada di sana.

“Kadang-kadang dalam keadaan macam ini kita kena terima keputusan yang dibuat. Kami tidak boleh persoal mengenai pengadil, keputusan mereka adalah muktamad.

“Orang berpengalaman akan tahu keadaan cuaca mempengaruhi pasukan. Dalam keadaan padang macam ini, cuaca hujan permainan akan berubah,” katanya memetik laporan BH Online.

Elavarasan turut mengakui kegagalan menyudahkan beberapa peluang yang diperoleh turut menjadi antara faktor pasukannya gagal mendapatkan keputusan lebih positif.

“Bagi saya mereka memberikan 100 peratus dalam permainan, daripada permainan tadipun kita perlu tahu sebab yang kita mengalami kekalahan.

“Kadang-kadang kita kena terima, kita main bagus, bukan kata tak bagus. Untuk perlawanan ini kita tidak mendapat gol apabila memperoleh peluang dan kita terpaksa terima,” katanya.

Pada perlawanan semalam, Vietnam tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Nguyen Van Tung menyudahkan percubaan susulan ketika sepakan penalti yang diambil pada mulanya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan dari Jepun, Jumpei Lida selepas rembatan Minh Trong Vo terkena tangan pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar.

Anak buah Phillipe Troussier itu kemudian menambah gol kedua pada minit ke-33 menerusi Van Tung hasil tandukan selepas menerima hantaran lintang Trong Vo.

Aliff Izwan kemudiannya hampir menyamakan kedudukan berselang seminit kemudian tetapi rembatannya hanya melewati palang gol ketika beliau sudah berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan.

Malang menimpa skuad negara pada lewat permainan apabila pemain gantian, Safwan Mazlan dan Najmudin Akmal Kamal dilayangkan kad merah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast