Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki yang disyaki telah memuat naik dua kenyataan bersifat provokasi perkauman dan berunsur hasutan di laman media sosial.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dilakukan di Bagan Serai, Perak pada 8 Mei lalu.

“Pemeriksaan lanjut polis turut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit dan sekeping kad sim milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Noorsiah, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap raja atau kerajaan.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Selain itu siasatan turut diperincikan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” ujarnya.

Menurut Noorsiah, polis telah mengemukakan permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan tempoh tahanan reman dibenarkan adalah selama tiga hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette