Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha meningkatkan undi Melayu di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Setiausaha PN Selangor, Muhammad Hilman Idham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, sekiranya langkah itu berjaya dicapai, PN akan dapat merampas 15 daripada 20 kerusi berkenaan.

Ia sekaligus mencapai sasaran memenangi 33 kerusi DUN.

“Kita (PN) ada 20 kerusi yang kita kalah dibawah 5,000 undi. Daripada 20 kerusi itu, kalau ambil kira PN berjaya tingkatkan lima peratus undi Melayu, PN boleh menang 15 kerusi, di situ ada 32 dan 33 kerusi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Muhammad Hilman berkata, PN dijangka daapt memenangi 15 kerusi DUN berdasarkan kepada keputusan PRU15 tahun lalu.

“15 kerusi (DUN) ikut keputusan semasa PRU15 di Selangor sudah dimenangi PN, dua kerusi yang dimenangi oleh BN iaitu DUN Paya Jaras dan Permatang, kita yakin boleh menang dengan situasi politik sekarang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya gabungan itu mampu untuk meraih 33 kerusi DUN sempena PRN kelak.

Mohamed Azmin berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kepada statistik yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

Untuk rekod, PN mempunyai lima kesusi DUN antaranya empat milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia iaitu di DUN Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Selat Klang dan Dengkil serta satu wakil Pas di DUN Sijangkang.

DUN Jeram dan Kuang adalah kerusi milik Bersatu sebelum Salahuddin Amiruddin dan Mohd Shaid Rosli bertindak meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Pejuang Tanahair. – MalaysiaGazette