KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mempunyai tunggakan saman sebanyak 397 bernilai lebih RM100,000.
Menurut Timbalan Pengarah (I) Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komissioner Mohd Nasri Omar, siasatan mendapati kereta mewah berkenaan tidak mempunyai sebarang tunggakan saman seperti mana yang ditularkan.
“Hasil semakan dijalankan mendapati video tersebut tidak benar dan tiada sebarang tunggakan saman dimiliki. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Baru-baru ini, pengguna TikTok memuat naik video mendakwa kereta mewah berwarna kelabu itu memiliki saman 397 saman dengan nilai RM118, 700.
Malah pengguna akaun TikTok dengan nama user64928506757 mendakwa kenderaan jenama mewah tersebut tidak dikenakan tindakan pihak berkuasa.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna TikTok lain serta warganet.- MalaysiaGazette