Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti secara serius cadangan sistem model gaji progresif sebelum boleh dipertimbangkan kepada kerajaan untuk tujuan pelaksanaan pada masa akan datang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tidak mustahil perkara itu boleh diperkenalkan kerana sebelum ini Malaysia berjaya memperjuangkan kebajikan pekerja temausk pelaksanan gaji minima.

“Kita sedang tengok secara serius gaji progresif dan ia akan dibangunkan bersama Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, MITI dan Kementerian Sumber Manusia.

“Ini akan dibawa dalam beberapa fasa untuk pertimbangan kerajaan. Selama ini peralihan untuk menjaga kebajikan gaji pekerja dengan kita mula dengan gaji minima.

“Perkara itu sudah berlaku tapi ia ada cabaran, sekarang kita beralih kepada fasa seterusnya iaitu gaji progresif.

“Cuma perkara ini perlu difikir dan dibincangkan secara menyeluruh, bukan sahaja dasar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah Rafizi, sebagai permulaan, kerajaan akan membawa cadangan itu dalam forum-forum awam bagi membolehkan pihak berkepentingan mengupas lebih lanjut sebelum menjadi dasar.

“Dalam masa terdekat, kita akan bawa ke dalam forum-forum kerajaan yang sewajarnya. Itu sebahagian daripada dasar yang Kementerian Ekonomi sedang kaji dan ia memang sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Ia adalah sasaran nasional supaya nisbah hasil ekonomi yang pergi kepada pekerja itu dalam bentuk gaji dan pampasan meningkat dari paras sekarang sekitar 36 peratus kepada 40 peratus.

“Sebenarnya dasar kerajaan dan itu kita sedang fokus, cuma ia bukan dengan hanya bagi arahan dan mewajibkan sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast