Thaksin Shinawatra

BANGKOK- Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang kini tinggal dalam buangan di Dubai menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air, Julai ini iaitu sebelum hari lahirnya bagi menjaga cucu-cucu beliau.

“Sekali lagi saya ingin meminta izin untuk pulang ke tanah air menjelang Julai atau sebelum hari lahir saya untuk menjaga cucu-cucu.

“Sudah hampir 17 tahun saya terpisah daripada keluarga dan saya kini sudah tua,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Bekas perdana menteri dalam pelarian itu bakal menyambut hari lahirnya yang ke 74, 26 Julai ini.

Dalam satu hantaran lain, Thaksin berkata, beliau tidak akan menjadi beban kepada Pheu Thai Party.

Tambahnya, beliau akan pulang ke tanah air melalui proses undang-undang.

“Pada hari kepulangan saya nanti, kerajaan caretaker yang dipimpin Jeneral Prayut Chan-o-cha akan tetap berada di situ.

“Ini semua adalah keputusan saya sendiri- dengan rasa cinta dan ikatan kasih sayang terhadap keluarga, tanah air dan pemerintah,” katanya lagi.

Permintaan ini adalah susulan daripada hantaran beliau pada 1 Mei lalu selepas anak perempuannya, Paetongtarn “Ung Ing” Shinatwatra baharu sahaja melahirkan cucu ketujuhnya, seorang bayi lelaki yang dipanggil Thasin.

Ketujuh-tujuh cucu pemimpin itu dilahirkan selepas beliau melarikan diri keluar negara sebelum sempat dipenjarakan.- Agensi