Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Zainal Abidin Shaik Zakaria (tengah) diiringi Pengarah HKL, Datin Dr. Rohana Johan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit wad hospital pada Majlis Penyampaian Sumbangan Rahmah Madani Aidilfitri 2023 MAIWP kepada pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) di HKL, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya mencapai sasaran kutipan zakat tahun ini iaitu hampir RM1 bilion. 

Ahli MAIWP, Zainal Abidin Shaik Zakaria berkata, RM300 juta daripadanya telah diagihkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin yang memerlukan.

Manakala RM72 juta daripadanya telah diagihkan pada Ramadan dan Syawal.

“Hampir RM1 bilion itu juga sasaran kami sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Rahmah Madani Aidilfitri di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah HKL, Datin Dr. Rohana Johan.

Menurut Zainal Abidin, agensi pungutan zakat di bawah MAIWP gembira dengan kerjasama baik pembayar zakat yang semakin meningkat.

“Tiap-tiap tahun akan bertambah sebab pembayar zakat makin ramai dan keprihatinan masyarakat terhadap zakat bertambah baik dan alhamdulillah kami di Wilayah Persekutuan mendapat kerjasama yang baik daripada pembayar zakat,” ujarnya.-MalaysiaGazette