Dua perwakilan Pergerakan Puteri UMNO dilihat melintasi dinding yang dihiasi logo parti UMNO ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 07 DISEMBER 2017
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Susulan peletakkan jawatan beramai-ramai 13 Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya pada Isnin lalu – sayap parti itu difahamkan akan membuat pelantikan baharu malam ini.

MalaysiaGazette diberitahu mesyuarat itu akan diadakan pejabat UMNO Bahagian Petaling Jaya pukul 8.30 malam.

Sumber memberitahu, mesyuarat tergempar itu dibuat bagi mengelak sayap bahagian parti itu menjadi lumpuh dan lantikan baharu itu akan dilakukan di hadapan pemangku ketuanya, Nurulfarahshah Jamil.

MalaysiaGazette juga mendapat salinan surat jemputan mesyuarat khas itu kepada semua ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya.

Notis mesyuarat itu dikeluarkan malam semalam selepas sayap bahagian parti itu membuat mesyuarat tergempar susulan peletakkan jawatan beramai-ramai 13 AJK pada Isnin lalu.

Surat jemputan mesyuarat khas itu kepada semua ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya.

“Semua Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya diwajibkan hadir demi menunaikan amanah dan tanggungjawab pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan,” kata notis mesyuarat itu.

Menurut surat jemputan itu juga, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim dijemput untuk hadir ke mesyuarat khas itu.

Semalam, sayap UMNO Bahagian Petaling Jaya hampir lumpuh apabila kesemua kepimpinannya bagi penggal 2023-2026 meletakkan jawatan secara beramai-ramai, berkuatkuasa serta-merta, pada Isnin.

Sumber memberitahu, tindakan itu dibuat selepas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling, Noor Hasliza Abu Taib bertindak melepaskan jawatannya yang berkuatkuasa 3 Mei lalu.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan maklum balas daripada salah seorang dari 13 AJK Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya yang meletakkan jawatan.

Selain itu, sumber memberitahu, Noor Hasliza iaitu bekas ketua sayap parti itu menghilangkan diri dan enggan bercakap dengan 13 AJK terbabit selepas meletakkan jawatannya sejak 3 Mei hingga sekarang.

Sumber tidak menolak kemungkinan Noor Hasliza diberi tekanan selepas memenangi jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya dalam Pemilihan UMNO 2023 pada 11 Mac lalu. – MalaysiaGazette