KUALA LUMPUR – Semakin ramai orang termasuk remaja dilaporkan terjerat selepas membalas mesej bersuara dalam aplikasi WhatsApp, termasuk daripada individu yang menyamar sebagai kenalan.
China Press melaporkan, seorang remaja berumur 15 tahun yang mahu bercinta melalui WhatsApp telah diperdaya untuk melakukan rakaman aksi lucah.
Sindiket berkenaan kemudian mengugut menggunakan kandungan lucah itu.
Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, See Foo Hoong berkata, remaja itu telah diperas RM5,000 tetapi tidak dapat membuat bayaran itu.
Katanya, keadaan itu seterusnya menyebabkan ibu bapa mangsa dan seorang saudaranya menerima alamat web bersertakan gambar remaja itu.
Foo Hoong berkata, kes pemerasan seumpama semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dan modus operandinya bermula dengan menyamar dan menghantar WhatsApp kepada mangsa.
“Mangsa akan memasuki jerat jika dia mula membalas mesej daripada orang yang tidak dikenali.
“Penjenayah akan berpura-pura mahu bersahabat dan apabila tiba masanya, mangsa akan dipujuk untuk sembang-sembang seks sebelum diperdaya melakukan aksi lucah di depan kamera.
“Penjenayah seterusnya akan menggunakan rakaman lucah mangsa untuk mengugut dan memeras,” katanya. – MalaysiaGazette