KUALA LUMPUR – Kemampuan UMNO untuk bangkit kembali adalah bergantung kepada tingkah dan olah setiap pemimpin dan ahlinya untuk kembali ke landasan perjuangan sejati.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka perlu melakukannya dengan ikhlas bersulamkan keimanan dan ketakwaan seutuhnya kepada Allah SWT.
“Insya-Allah, dengan asas ini sahaja saya yakin UMNO pasti akan bangkit dan terus bangkit demi amanah agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya dalam hantaran Facebook sempena ulang tahun UMNO ke-77, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO merenung ayat 140 surah Ali Imran yang bermaksud: “Dan Kami pergilirkan hari-hari (saat kemenangan dan saat kekalahan) diantara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran)”.
Asyraf memberitahu, ayat tersebut cukup bermakna sebagai satu ibrah atau pengajaran untuk mereka agar bermuhasabah bahawa 77 tahun merupakan jangka waktu yang cukup panjang dalam lipatan sejarah perjuangan UMNO.
“Tatkala kita berada di atas tentunya ada sebab mengapa Tuhan takdirkan kita jatuh tersungkur walaupun mungkin kita masih mahu bernostalgia dengan segala jasa dan sumbangan di masa lampau.
“Demikian jugalah ketika kita berada di bawah, tidak bermakna UMNO tidak mampu bangkit kembali,” jelasnya. – MalaysiaGazette