Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid KL di Depot LRT Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Operasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Ampang-Sri Petaling di enam stesen yang digantung sebelum ini akan disambung semula pada 12 Mei ini.

Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd, perkhidmatan itu akan bermula jam 6 pagi melibatkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

Tambahnya, serentak dengan pembukaan stesen-stesen itu, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan.

“Ini adalah susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya telah selesai.

“Tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren-tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi.

“Faktor kegagalan ini adalah disebabkan oleh tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Rapid Rail, bagi kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober ini.

“Seterusnya operasi perkhidmatan LRT akan kembali beroperasi secara normal. Jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat.

“Bagaimanapun, untuk melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail juga akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10).

“Ia akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan,” ujarnya.

Jelas Rapid Rail lagi, perkhidmatan bas perantara itu akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit.

Penumpang mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif untuk menuju ke Hang Tuah, mereka boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa.

Manakala mereka yang ingin menuju ke Chan Sow Lin, boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.

Dalam pada itu, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini.

Selain itu, anggota operasi rel dan polis bantuan Prasarana juga akan ditempatkan di stesen-stesen terlibat bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang. – MalaysiaGazette