musuh UMNO
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Musuh UMNO dilihat terus cuba membina propaganda negatif kerana tidak senang dengan kedudukan parti yang kini memasuki ulang tahun ke-77 penubuhannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, musuh tersebut terus ghairah menanamkan perasaan benci dan prejudis yang melampau dalam pemikiran rakyat terutamanya anak-anak muda.

Menurut beliau, permainan persepsi itu diasak-asak sepanjang masa sehingga membentuk satu realiti yang berbahaya dalam pemikiran dan kehidupan rakyat.

“Politik nilai, politik khidmat, ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan negara pada landasan ekonomi yang kukuh dan terbaik semuanya diketepikan, dan digantikan dengan kebencian dan dendam kesumat.

“Semuanya dihidangkan sebagai soundbyte buffet yang mudah dihadam dan diterima dan berlegar di domain digital sehingga ke hari ini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-77 UMNO, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, perkara itu telah menganjakkan masyarakat jauh ke belakang dan kembali kepada budaya politik lapuk dan ketinggalan zaman.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga bimbang dengan kesan buruk terhadap anak-anak muda yang memulakan perjalanan politik mereka melalui lensa perkauman dan propaganda kebencian.

“Saya yakin, bahawa pihak sana bukannya tidak sedar kesan buruk daripada propaganda ini.

“Tetapi memilih dengan sengaja untuk memejamkan mata dan membiarkan anak muda kita terus terbuai sehingga membelakangkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengajar UMNO bahawa demokrasi bukan satu negara, sebaliknya ia adalah hak rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sempadan ruang demokrasi bukan ditentukan oleh pemerintah dan ia hanya akan diperolehi melalui perjuangan rakyat.

“Kini seluruh rakyat Malaysia menumpukan perhatian kepada UMNO untuk meneliti gerak geri, mengadili idea-idea dan dasar, memperhalusi cara kita menyantuni rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, peranan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan merupakan peluang untuk menggalas tanggungjawab mentadbir negara dengan baik dan membuktikan kebolehan memimpin harapan rakyat.

Menurut beliau, cara UMNO membina negara perlu lebih cekap dan bermaruah serta berintegriti.

“Kita mendukung nilai-nilai hormat dan saling kebertanggungjawaban antara kita dan juga rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan,” jelasnya. – MalaysiaGazette