Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi perbicaraan berhubung pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kes pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan pengelakan cukai yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy bermula hari ini.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiringi beberapa pegawai dan penyokong tiba pada jam 8.45 pagi.

Kes ini sepatutnya didengar Hakim Mohamed Zaini Mazlan namun beliau telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Pada April lalu, Rosmah menarik balik rayuannya berhubung permohonan menggugurkan Mohamed Zaini daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai selepas hakim itu dinaikkan pangkat.

Mohamed Zaini juga merupakan hakim yang menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah selepas Rosmah, 72, didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Pendengaran rayuan itu akan didengar bermula 11 hingga 14 Julai ini.

Pendakwaan dalam kes elak cukai LHDN dan penggubahan wang haram ini dijangka akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yi Ting manakala Rosmah akan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan prosiding bermula 12 Mei; 28 dan 30 Jun; 6, 7, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September depan.

Pada 23 Mac lalu, pendakwaan memaklumkan 13 saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan terhadap Rosmah.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. -MalaysiaGazette