Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) komited mahu memastikan 90 peratus isu bekalan air di negeri itu dapat diselesaikan pada tahun 2026.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah berkaitan bekalan air berlaku bukan sahaja di negeri ini juga melibatkan tempat lain.

Menurutnya, isu air berlaku di seluruh negara bahkan ada negeri yang tahap perkhidmatan airnya lebih teruk daripada Pahang.

”Agenda air di Pahang amat besar dan mempunyai beberapa komponen, memerlukan perancangan rapi, masa serta peruntukan kewangan yang besar.

“Isu utama adalah kadar tarif yang rendah kerana kali terakhir kajian tarif bekalan air domestik dilakukan di Pahang adalah pada 1983. Tarif air domestik Pahang adalah yang kedua terendah di Malaysia selepas Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri terus bertahan dengan kadar tarif ini kerana ambil kira bebanan terhadap rakyat,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di  Wisma Sri Pahang hari ini.

Tambah Wan Rosdy  sehingga kini, kesemua 217 projek masih kekal dalam perancangan rapi dan pelaksanaan oleh kerajaan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.3 billion.

Manakala 82 daripada 217 projek bekalan air Pahang Fasa Satu 2021 hingga 2026 membabitkan kos RM47 juta sudah siap dilaksanakan.

Sebanyak 37 projek lagi membabitkan kos RM299.9 juta dalam pembinaan manakala 98 projek kini dalam peringkat pra pembinaan iaitu perancangan reka bentuk, kelulusan atau urusan pelantikan kontraktor membabitkan kos RM1,996.6 juta.

”Projek-projek ini dirancang bagi atasi masalah bekalan air di Pahang antaranya paip pecah, tekanan rendah, putus bekalan, kualiti air mentah yang merosot dan penukaran jajaran paip lama.

“Keseluruhan peruntukan ini bukanlah sekadar janji, angka atau impian kosong. Ini merupakan satu inisiatif yang pasti dan dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

”Seperti yang saya jelaskan ketika Sidang DUN Pahang  Ke-14, perkhidmatan bekalan air merupakan salah satu keutamaan dan fokus utama Kerajaan Negeri, saya telah kotakan janji turun padang ke setiap daerah di Pahang melihat sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette