Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kiri) menyempurnakan gimik pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tunjong hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua, kanan) dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob (kiri). -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA BHARU – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perancangan teliti dilakukan bagi memastikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi menjadi pemangkin perubahan di Pantai Timur khususnya Kelantan.

“Ini kerana antara masalah besar dalam perbincangan kita dengan pelabur-pelabur termasuk dari China (ialah) kurang perhatian kepada Terengganu (di Pantai Timur), terutama Kelantan berkaitan soal pelabuhan, walaupun pelabuhan tak ada (apabila Projek ECRL siap), memudahkan umpamanya pengangkutan pengeluaran barang-barang hasil di Kelantan sama ada pertanian atau industri.

“Sebab itu harus ada tindakan segera yang lebih agresif untuk menarik pelabur dengan menjamin beberapa insentif baru dan proses kelulusan lebih cepat,” kata beliau pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL Kota Bharu di Tunjong, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwish Abdul Razak.

Stesen ECRL Kota Bharu dibina untuk kegunaan penumpang di kawasan seluas 20 hektar di Bandar Baru Tunjong akan merangkumi reka bentuk bangunan yang berteraskan konsep “Rumah Meleh Melayu Kelantan dan bunga ketam guri serta menggunakan ciri-ciri kebudayaan negeri itu.

Anwar berkata Projek ECRL telah menyaksikan penglibatan lebih 2,100 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal sejak 2017 hingga suku pertama tahun ini.

“Jadi andaian mengatakan Projek ECRL ini dimonopoli sepenuhnya dari negara China tidak sepenuhnya benar.

“Saya sebut tadi dalam rundingan kita dengan negara China dan syarikat-syarikat, semua projek baharu kita nak tekankan supaya ruang dan peluang kerja sivil, kontrak dan konsultan dan lain-lain patut diberikan kesempatan kepada syarikat tempatan,” kata beliau.

Projek ECRL ini dijangka siap menjelang akhir 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast