APMM Pulau Pinang menahan dua lelaki Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah pada Rabu lalu.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua pekerja sangkar ikan warga Myanmar selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah.

Kedua-dua lelaki itu ditahan agensi berkenaan ketika melakukan rondaan Op Pertiwi di sekitar 0.2 batu nautika tenggara Pulau Jerejak, jam 6 petang pada Rabu lalu.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri serta permit yang sah ketika diminta.

“Masing-masing mereka berusia 29 dan 36 itu tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia tanpa permit atau pas yang sah.

“Mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Orang ramai yang mempunyai aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, boleh segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 bagi maklum balas segera. – MalaysiaGazette