Datuk Iskandar Abdul Samad
Datuk Iskandar Abdul Samad foto FAREEZ FADZIL, 01 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Ramalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kononnya Perikatan Nasional (PN) akan berpecah dilihat cuba menutup kelemahan gabungan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH).

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, walaupun Ahmad Zahid tidak menyebut nama mana-mana gabungan atau parti namun beliau jelas merujuk kepada PN.

Beliau berkata, ramalan Ahmad Zahid dalam politik hari ini sebenarnya adalah perpecahan gabungan BN-PH yang akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan tumbang.

“Justeru ramalan Ahmad Zahid boleh dilihat sebagai satu usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapi oleh BN-PH.

“Mungkin beliau juga berharap ia akan dapat mengurangkan tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid ketika menyampaikan Amanat Ulang Tahun UMNO ke-77 menjangkakan kerjasama politik Pas dengan Bersatu dalam PN tidak akan bertahan lama, seperti mana hayat Muafakat Nasional (MN).

Ahmad Zahid menyifatkan kerjasama itu sebagai perkahwinan muta’h politik yang hanya bersifat sementara.

Selain itu, Iskandar percaya Kerajaan Perpaduan tidak akan bertahan lama kerana pertembungan di antara parti-parti dalam pentadbiran Anwar semakin ketara.

“Yang terkini Pergerakan Pemuda UMNO mengkritik keputusan Menteri Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan yang juga Presiden Amanah, Mohamad Sabu kerana melantik lima pemimpin PH untuk menerajui agensi-agensi utama di bawah kementerian itu,” katanya lagi – MalaysiaGazette