Tangkap layar menunjukkan sekumpulan individu bergaduh selepas ahli keluarga mangsa mereka terbabit dalam insiden kemalangan maut di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Enam lelaki ditahan polis susulan terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan kemalangan maut di Tanjung Bungah di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan polis daripada kedua-dua keluarga pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Bagaimanapun, kesemua mereka yang berusia 28 hingga 59 tahun itu dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala siasatan kes kemalangan maut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kenyataan sama, Soffian berkata, kemalangan pukul 11.20 pagi itu mengakibatkan seorang wanita maut di lokasi kejadian.

“Wanita yang menunggang motosikal itu maut selepas dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki.

“Selain itu, kita juga ingin menasihati orang ramai supaya tidak menyebar rakaman video kejadian berkenaan bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast