Pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Kuantan berpeluang mengikuti lwatan sambil belajar sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke -15 di Wisma Sri Pahang

KUANTAN – Hampir 300 pelajar menimba pengalaman sebagai pemerhati pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15.

Mereka termasuk pelajar tingkatan lima sekolah menengah dan penuntut universiti yang mengikuti sesi perbahasan berlangsung bermula Selasa hingga Jumaat.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar dan Sekolah Menengah Tok Sira.

Rata-rata yang ditemui menzahirkan rasa keterujaan melihat sendiri bagaimana persidangan DUN berjalan.

hd Amsyar Mat Asmawi

Mohd Amsyar Mat Asmawi, 17, menzahirkan kesyukuran kerana diberi peluang untuk menyertai lawatan sambil belajar bagaimana proses persidangan DUN berlangsung, sekali gus menimbulkan rasa minat untuk menceburi politik.

”Pengalaman berharga untuk saya sendiri kerana kali pertama masuk di tempat YB Yang Berhormat yang berjawatan besar, dapat melihat sendiri bagaimana mereka membahas sesuatu isu atau permasalahan, pengalaman ini bagi saya memang mahal.

”Bila tengok sendiri baru kita faham antara skop kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ini, mungkin dulu kita tak minat jadi ahli politik, bila ada pendedahan begini boleh menarik minat golongan muda,” katanya.

Nor Hidayah Abdullah

Bagi Nor Hidayah Abdullah, 17, berasa gembira dalam menimba pengalaman bersama kawan-kawan bagi menambah minat subjek Sejarah.

”Memang seronok sebab kali pertama tengok, agak lama dan sedikit mengantuk tetapi lama-lama rasa seronok tengok ahli dewan berbahas.

”Paling penting, lawatan sambil belajar ini berkaitan dengan topik Perlembagaan Persekutuan bagi subjek Sejarah, jadi membantu pemahaman kami.

Mohd Alias Fakimi Mohd Ariman, 17, berkata, sesi sidang DUN berjalan lancar dan membuka mindanya untuk penulisan isu semasa dan politik tanah air.

”Menerusi sesi permerhatian sidang DUN ini dapat memahami proses dewan berjalan termasuk isu-isu perbincangan mereka.

”Ini boleh menolong saya untuk buat karangan termasuk menambah pengatahuan isu politik seperti pilihan raya, secara tidak langsung menambah minat saya belajar Sejarah,” katanya.

Selain itu pelajar Universiti Islam Antarabangsa kampus Gambang,  Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kolej Komuniti, Kolej Profesional Mara, dan University College of Yayasan Pahang (UCYP) turut mengikut perjalanan persidangan DUN Pahang.

Mereka berpakaian mengikut garis panduan kod etika yang ditetapkan oleh pihak protokol dengan memakai lounge suit bagi lelaki serta baju kurung untuk perempuan.

Istiadat pembukaan penggal kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, pada 8 Mei lalu.

Manakala sesi penggulungan dibuat oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada semalam.

Sidang DUN penggal kali ini mencatat sejarah selepas negeri ini membentuk Kerajaan Perpaduan.

Bekas ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang bagi penggal ke-15 pada 29 Disember 2022 mengendalikan sidang dewan bersama Timbalan Yang Dipertua DUN, Lee Chin Chen

Kedua-dua bekas ADUN Lanchang dan ADUN Bilut itu dilantik pada 29 Disember 2022 menggantikan Datuk Seri Ishak Muhammad dan Datuk Seri Muhamed Jaafar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast