Pengarah Urusan TH Tebrau Land, Lim Cheng Chun (kanan) memberi penerangan kepada Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Hassan Abdul Karim berkenaan projek PPAM Pangsapuri Seri Permata di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Kerajaan akan membantu projek-projek perumahan yang dihentikan sementara  pembinaannya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengelak menjadi projek ‘sakit’ atau terbengkalai.

Timbalan Menteri  Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal  Nasrullah Mohd Nasir berkata,sekiranya kerajaan tidak membantu ia dibimbangi akan menjadikan masalah itu lebih buruk menyebabkan jumlah projek perumahan yang sakit, lewat dan terbengkalai melebihi 1,000 pada tahun ini.

“Kita akan melihat dahulu apa puncanya dan jika melibatkan masalah utiliti dan bekalan, kita akan runding serta mencari jalan, contohnya bertemu syarikat utiliti bagi menyelesaikannya.

“Kita juga akan memberikan dana kepada pembeli dengan gaji RM3,000 ke bawah. Ini merupakan bajet tambahan tahun ini melibatkan peruntukan RM29 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Pangsapuri Seri Permata, di sini, hari ini.

Harir sama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Liow Cai Tung; Pengarah TH Land Tebrau, Syamin Ibrahim dan Pengerusi TH Tebrau Land, Peh Lian Hua.

Beliau yang juga Pengerusi Task Force Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai berkata, ketika ini terdapat 365 projek perumahan sakit dan lebih 100 projek perumahan lewat disiapkan mengikut jadual.

Katanya, antara masalah yang timbul sebelum ini antaranya ketiadaan pekerja di tapak-tapak pembinaan selepas PKP. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast