anwar the untold story
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad cuba menegakkan benang yang basah berhubung isu pendedahan kekayaan.

Perdana Menteri berkata, ramai mengetahui keluarga bekas ahli Parlimen Langkawi itu memiliki aset sendiri seperti pesawat, kapal dan syarikat yang memberi keuntungan berbilion ringgit.

“(Keluarga Tun M) Dah ada, pesawat, ada kapal, ada syarikat berbilion semua tahu. Menegak benang basah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri, Malaysia Madani di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Mahathir yang mahu beliau mendedahkan kekayaan dimiliknya ketika Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Cabaran itu menyusul sehari selepas Anwar mengulangi gesaan dan cabarannya supaya Mahathir mendedahkan segala aset yang dimilikinya, selain anggota keluarganya.

Mahathir berpandangan beliau tidak perlu melayan permintaan itu atas alasan Presiden PKR itu kononnya sudah memiliki ‘berkotak’ dokumen mengandungi maklumat berkenaan kekayaan beliau.

Mahathir juga menyifatkan cabaran Anwar terhadapnya serta pemimpin terdahulu sebagai ‘menghairankan’ berikutan Perdana Menteri kononnya sudah memiliki bukti mengenai kekayaan mereka, malah, Anwar sendiri antara pemimpin lama yang pernah dituduh membantu kroni.

Dalam pada itu Anwar berkata, beliau tidak menghadapi masalah sekiranya diminta oleh Dr Mahathir untuk beliau berbuat demikian.

Malah ujarnya, beliau merupakan antara individu yang telah melakukan perkara itu dan tidak diam mengenainya.

“Saya tak ada masalah. Saya di antara orang isytihar harta…yang tidak diam.

“Saya isytihar dahulu, saya isytihar berapa RM11 juta rumah Segambut,” tambahnya. – MalaysiaGazette