JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pengasuh kerana disyaki mendera seorang bayi lelaki jagaannya yang berusia tujuh bulan di sekitar Taman Universiti, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh berkata, wanita tempatan berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya, selepas satu laporan polis dibuat oleh ibu bayi berkenaan pada pukul 4.30 pagi, semalam.
Beliau berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini oleh ibu bapanya untuk mendapatkan rawatan pada Khamis lepas, dan hasil pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa.
“Mangsa masih di bawah pemerhatian pihak HSA dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Siasatan awal mendapati wanita itu menafikan telah mendera mangsa. Dia juga pernah dituduh di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membabitkan penderaan terhadap seorang kanak-kanak lain pada 2021. Kes itu masih dalam proses perbicaraan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Bernama