KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyarankan agar para guru meningkatkan kefahaman tentang literasi undang-undang membabitkan sektor pendidikan susulan trend kenaikan saman terhadap mereka yang meningkat sejak dua tahun lepas.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya telah menerima aduan saman terhadap guru berhubung beberapa isu berkaitan perkhidmatan, isu mengajar, menjalankan kokurikulum serta menguruskan sekolah dan setakat Mei ini lapan aduan telah diterima oleh organisasi berkenaan.
“Dalam hal ini kami di NUTP mengharapkan literasi undang-undang akan dipertingkatkan kepada guru kerana mungkin mereka (guru) kurang memahami undang-undang dan batas-batas yang seorang guru tidak boleh lakukan dalam kaitan perundangan.
“Dan pihak kami pun sedar sekiranya seseorang guru itu disaman, untuk mendapatkan khidmat guaman di luar pun cukup tinggi dan ada kemungkinan sampai tahap guru ini tidak mampu membiayai jumlah kos perbicaraan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka NUTP 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata, di NUTP mereka ada menyediakan khidmat guaman kepada ahlinya, namun akan melihat kepada isu yang berkaitan sahaja dan dana ini diperoleh daripada tabung tindakan perusahaan di bawah organisasi tersebut.
“Jadi apa yang saya lihat yang boleh dilakukan adalah di peringkat maktab atau Institusi Pendidikan Guru (IPG) boleh diberikan kursus tentang undang-undang bagi mengelakkan mereka (guru) ini disaman apabila berkhidmat di sektor pendidikan nanti. Kandungan perkara yang patut diajar kepada bakal guru diberikan lebih berkaitan undang-undang.
“Perkara ini juga perlu disebarluaskan kepada mereka (guru) yang sudah berada dalam sektor pendidikan. Cuma setakat ini, kursus ini hanya pilihan dan ditawarkan di beberapa institusi sahaja serta jumlahnya pun terhad,” katanya. – Bernama
Adalah disarankan agar ibu bapa yg berkemampuan serta tinggi ego mereka supaya mengambil tugas guru dan didiklah sendiri anak mereka. Golongan seumpama ini hanya berani kepada tenaga pengajar dlm negara sahaja tetapi sentiasa mendaulat orang luar. Mereka yg tergolong dlm kategori ini saelok eloknya tidak diperlukan oleh negara ini.