Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor 2023 di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 MEI 2023.

GOMBAK – “Alhamdulilah, setiap kali saya datang ke Gombak, semangat saya cukup tinggi kerana Gombak kekal sebagai medan kita (PKR),”.

Itu kata Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diikuti dengan sorakan ribuan pengunjung yang menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani Selangor di sini malam ini.

Anwar ketika berucap turut melahirkan rasa teruja melihat lautan manusia membanjiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri itu sambil diiringi dengan sorakan ‘reformasi’ dalam kalangan para penyokongnya.

Difahamkan, lebih 30,000 pengunjung pelbagai kaum hadir Rumah Terbuka Malaysia Madani Selangor di kawasan komersial Fasa 3, Taman Seri Gombak malam ini.

Walaupun program berlangsung antara pukul 8 sehingga 11 malam namun lokasi ini sudah mula sesak dengan ribuan pengunjung lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor 2023 di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 MEI 2023.

Rata-rata mereka telah sampai dua jam lebih awal kira-kira pukul enam petang lagi bagi mengelak sebarang kesesakan dan mula menikmati juadah dalam majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri itu.

Anwar yang tiba sekitar pukul 9 malam dan diiringi dengan laungan reformasi daripada para penyokong yang juga berebut-rebut bersalam dan bergambar dengannya.

Beliau diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan isteri serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selain barisan Kabinet juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani Selangor 2023 di Taman Sri Gombak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 MEI 2023.

Difahamkan, sebanyak 29 gerai disediakan dengan lebih 42 juadah antaranya seperti nasi minyak, ayam masak merah, gulai daging, ketupat, lemang, rendang ayam, tapai, keropok lekor, sate, kambing golek, buah-buahan, kuih muih serta pelbagai minuman.

Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal Datuk M Nasir, Dayang Nurfaizah dan Pija Mentor.

Cuaca juga yang pada awalnya hujan tidak menghalang mereka yang  hadir walaupun lokasi tersebut sesak dengan manusia.

Pihak penganjur turut menyediakan beberapa alternatif termasuklah bas Smart Selangor bagi kemudahan pengunjung.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast