Keadaan kereta pasangan suami isteri remuk teruk selepas kenderaan yang dinaiki pasangan tersebut bertembung dengan sebuah treler hilang kawalan dalam kejadian pagi tadi.

KOTA TINGGI – Seorang wanita maut sementara suaminya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 43.5, Jalan Johor Bahru-Mersing hari ini.

Pada kejadian pukul 8.10 minit pagi itu telah mengorbankan Masroha Ali, 37, manakala suaminya yang memandu kereta Proton Waja, Mohd Fazuan Abu Hassan, 38, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kmalangan berlaku apabila treler jenis Scania yang menghala ke Johor Bahru dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Hasil siasatan treler itu telah  bertembung dengan kereta Proton Waja mengakibatkan pemandu kereta tersebut cedera parah iaitu patah kedua-dua kaki dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

“Isterinya pula cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Hasil semakan mendapati pemandu treler tidak mempunyai rekod lampau.

Kes  disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Hussin berkata, pemandu treler tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Tinggi II Rafiee A Karim berkata, tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dan sebuah Fire Response Vehicle (FRV).

Insiden itu mengakibatkan suami isteri berkenaan tersepit di tempat duduk masing-masing dan wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan  sebelum mayat diserahkan kepada polis.

Media diberitahu, treler berkenaan membawa serbuk kapur dan kemalangan tersebut mengakibatkan muatan bahan yang digunakan untuk pertanian berterabur atas jalan raya.-MalaysiaGazette