Datuk Seri Shahidan Kassim.- Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

PHNOM PENH – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui sasaran 10 emas untuk kem olahraga pada Sukan SEA 2023, adalah sasaran peribadinya sendiri.

Shahidan berkata ia merupakan matlamat utamanya setelah kembali memimpin KOM selepas sedekad, tanpa berbincang dengan barisan kejurulatihan.

“Namun, setelah melalui proses latihan dan sebagainya kita sebenarnya boleh dapat angka yang hampir dengan 10 emas…tapi kalau orang semua nak kritik (kegagalan mencapai sasaran) tiada masalah, semua boleh berbuat demikian,” katanya.

Biarpun kem olahraga negara gagal melunaskan misi itu – selepas hanya membawa pulang lima emas, tiga perak dan 12 gangsa – Shahidan tetap berbangga dengan pencapaian skuad itu khususnya beberapa atlet muda.

Shahidan yakin pendedahan kepada atlet muda yang membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu, akan memberi pulangan besar kepada kontijen negara seterusnya mampu ‘menggegarkan’ Sukan SEA akan datang.

Pencapaian lima emas itu sekali gus menyamai pencapaian pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Di Kemboja, tiga atlet negara, Grace Wong (tukul besi wanita), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang lelaki) menampilkan prestasi cemerlang dengan mempertahankan emas.

Sementara itu, tatkala tumpuan lebih diberikan kepada jaguh 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang menepati ramalan menjuarai acara tersebut, atlet berusia 20 tahun, Umar Osman membuat kejutan menggondol emas pada penampilan pertamanya dalam acara itu bagi kategori lelaki.

Malah pemuda dari Kluang, Johor itu melakukan 46.34 saat (s) pada saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dipegang hampir 22 tahun oleh Mohd Zaiful Zainal Abidin, 46.41 saat (s), dicatatkan dalam Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei, 2001.

Kejayaan membanggakan Umar itu menamatkan kemarau emas acara itu selama 14 tahun yang kali terakhir dimenangi Zafril Zuslaini pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.

Shereen pula kembali meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi podium sukan peringkat serantau itu bagi kategori wanita, selepas N. Manimagalay kali terakhir memenanginya pada edisi 1999 di Brunei.

Bukan itu sahaja, kuartet 4x400m lelaki negara berjaya menamatkan kemarau pingat 10 tahun dengan membawa pulang gangsa, Jumaat lepas.

Kuartet dibarisi Umar, Abdul Wafiy Roslan, Muhammad Firdaus Mohamad Zemi dan S. Tarshan merekodkan tiga minit dan 08.82 saat (s) untuk merangkul gangsa, sekali gus menyamai pencapaian Malaysia yang kali terakhir memenangi pingat acara tersebut pada edisi 2013 di Myanmar.

Antara muka baharu lain yang turut menyumbang pingat adalah Farell Glen Felix menerusi gangsa lompat tinggi lelaki serta Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling dalam 4x100m wanita yang merangkul gangsa bersama ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias.

Lebih manis, kuartet itu mencipta sensasi apabila memadam rekod lama kebangsaan 45.18s dicatat pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di India pada 2017, dengan catatan baharu 44.58s.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast