KUALA LUMPUR – Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Atirah Sabu menyifatkan Konvensyen Wanita Perpaduan yang mengumpulkan 19 sayap wanita daripada 19 parti senada disebabkan penyatuan dalam Kerajaan Perpaduan.
Aiman Athirah Sabu berkata, wanita PH tidak menghadapi apa-apa masalah dalam merancang hala tuju konvensyen ini dalam merancang masa depan kerajaan pada mata wanita gabungan itu.
“Saya tidak ada apa-apa masalah dalam merancang tugas, macam hari ini kedua-dua jentera daripada PH dan BN bergabung dan saya nampak semua senada.
“Saya nampak tidak ada pihak yang melebih-lebih daripada mana-mana pihak, kita yakin atas semangat dan aura yang ditunjukkan oleh perdana menteri atas dasar Malaysia Madani itu akan dapat berjalan dengan baik,” katanya selepas berakhirnya Konvensyen Wanita Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek pula berkata, Konvensyen Wanita yang diadakan hari ini dapat mencerminkan Kerajaan Perpaduan adalah satu kerajaan yang stabil dan dapat menjamin kesejahteraan rakyat.
Menteri Pendidikan itu berkata, solidariti antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan dapat dipertahankan.
“Momentem itu telah kita mulakan dan kita harap ia mencerminkan kestabilan dan akan turun ke peringkat akar umbi seterusnya memenangi PRN di enam negeri kelak,” katanya.
Dalam konvensyen wanita itu, Wanita UMNO berharap kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan dapat diteruskan sampai bila-bila.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata biarpun berpuluh tahun menjadi seteru politik, namun itu tidak dapat menafikan bahawa wanita DAP, UMNO, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dapat duduk semeja menjayakan konvensyen Kerajaan Perpaduan hari ini. – MalaysiaGazette