Gambar hiasan

GOMBAK – Cubaan seorang bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) meragut rantai emas seorang wanita di tepi jalan akhirnya memakan diri.

Suspek akhirnya berjaya dicekup awam selepas gagal meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pada Ahad lalu, pihaknya telah menerima panggilan orang awam mengenai satu kejadian ragut yang berlaku di Jalan Maxwell, Hentian Teksi Pekan Rawang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berumur 50-an dan berasal dari Rawang.

“Semasa kejadian berlaku, mangsa sedang berjalan kaki dari kedai makan di Jalan Maxwell menuju ke keretanya yang diparkir tepi jalan.

“Secara tiba-tiba, sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR yang ditunggang oleh suspek lelaki memakai topi keledar dari arah belakang telah meragut rantai emas di leher mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Zainal Mohamed lagi, semasa suspek cuba melarikan diri, mangsa telah menjerit dan suaminya yang berada di hadapannya telah berjaya menghalang suspek daripada melarikan diri.

Suspek telah terjatuh dari motosikal dan berjaya ditahan oleh orang awam.

Katanya, suspek kemudian telah diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Zainal Mohamed berkata, akibat daripada kejadian itu, wanita yang nyaris menjadi mangsa ragut telah mengalami kecederaan ringan di leher dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang.

“Siasatan lanjut polis juga mendapati mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun dan mempunyai 13 rekod jenayah ragut dan samun.

“Selain itu, rupa -rupanya suspek baru sahaja dibebaskan dari tahanan POCA pada bulan Mac tahun ini,” ujarnya.

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini dan dibenarkan direman selama tujuh hari mulai sehingga 21 Mei ini bagi membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan rompak yang memperuntuk hukuman penjara selama tempoh boleh sampai empat belas tahun, dan boleh juga dikenakan denda atau sebat. – MalaysiaGazette