Seorang penarik kereta, Hadad Radhi, 22, merupakan kenalan wanita 33 tahun itu, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atas pertuduhan kerana melakukan amang seksual secara fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah hotel di Sungai Buloh ketika dibawa oleh pegawai polis ke Mahkamah Sesyen, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2023.

KLANG – Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun, Februari tahun lalu.

Tertuduh, Haddad Mohd Radhi, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berumur 14 tahun dengan cara meraba kedua payudara dan menyentuh kemaluan kanak-kanak tersebut bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah hotel di Taman Sri Pristana, Sungai Buloh, kira-kira jam 2 pagi, di antara 17 hingga 18 Februari 2022.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan.

Terdahulu tertuduh yang memakai baju t-shirt kolar bulat berwarna hitam diiringi anggota polis ketika memasuki Mahkamah Sesyen di sini, kira-kira jam 9.45 pagi tadi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzati Mohamad yang mengedalikan kes itu tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan kenalan kepada ibu mangsa dan dibimbangi boleh mengganggu mangsa dan saksi.

Bagaimanapun peguam, Mohd Azali Ibrahim meminta mahkamah menawarkan jaminan susulan anak guamnya itu hanya bekerja sebagai seorang penarik kereta dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selain itu, tertuduh juga sudah berkahwin, mempunyai seorang anak dan isteri pula tidak bekerja serta sedang mengandung cahaya mata kedua.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diberi jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis berdekatan kediaman.

Mahkamah turut menetapkan 14 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette