Siew Hong (kanan) dengan barisan peguamnya, J Gunamalar dan Thian Yee Chin.

KUALA LUMPUR – Ibu tunggal, Loh Siew Hong bertindak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral oleh bekas suami, Muhammad Nagashwaran Muniandy tanpa persetujuannya hari ini.

Siew Hong dalam notis rayuannya tidak puas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, pada 11 Mei lalu.

Untuk makluman, Wan Ahmad Farid membuat keputusan berkenaan selepas menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman tiga anaknya sekali gus memohon untuk membatalkan pengislaman terbabit.

Dalam penghakimannya, Wan Ahmad Farid berkata, tiada bukti dikemuka di mahkamah yang agama pasangan kembar perempuan berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sudah ditukar semula kepada Hindu

Hakim berkata, ibu tunggal itu tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat walaupun ketika berada dalam jagaannya.

“Tiada bukti semua kanak-kanak itu sudah berhenti menganut agama Islam, oleh itu kebajikan mereka dalam pengertian kes Indira Ghandi menetapkan status quo harus kekal.

Siew Hong memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac tahun lalu dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Wanita itu memohon anak-anaknya diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan. 

Pada 21 Febuari tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Siew Hong selepas dia gagal mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya daripada pendakwah, Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Ini berikutan perintah mahkamah sivil yang memberikan hak penjagaan, perlindungan dan kawalan ke atas tiga anaknya.

Siew Hong kemudian mendapat tahu anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan Nazirah dan mendakwa wanita itu enggan membenarkannya bertemu dengan mereka.

Wanita itu yang merupakan seorang penganut agama Buddha berhujah, bekas suaminya itu tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan pendaftar mualaf mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast