RAUB – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ‘ditinggalkan’ oleh ibu dan bapanya di Medan Selera, Simpang Kallang di sini semalam.
Menerusi kenyataan Facebook Polis Daerah Raub, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang kanak-kanak tinggal bersendirian di tempat kejadian selepas ditinggalkan oleh kedua orang tuanya.
“Kejadian berlaku ketika sebuah keluarga berhenti di medan selera untuk makan tengah hari dan kemudian bergerak semula ke destinasi masing-masing.
“Ibunya bergerak ke arah Kelantan manakala bapanya ke Kuala Lumpur dan tidak sedar anaknya tiada bersama mereka.
“Ibu bapa kepada kanak-kanak itu menjangkakan kanak-kanak itu bersama bapanya begitu sebaliknya dan menyedarinya sehingga pihak polis berjaya menghubungi bapa kanak-kanak itu tentang kejadian mereka tertinggal anak ,” katanya.
Bagaimanapun kanak-kanak itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub oleh orang awam untuk tindakan lanjut.
“Usaha untuk menghubungi bapa kanak-kanak itu berjaya dan datang semula ke IPD Raub untuk mendapatkan anaknya semula.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga anak masing-masing dan pastikan anak anda sentiasa berada dalam jagaan anda dengan baik agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette