Datuk Seri Anwar Ibrahim

MELAKA – Penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut agama Kristian di Sarawak hanya terpakai untuk negeri berkenaan dan tidak boleh digunakan di negeri-negeri lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah pun dijelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa penggunaan kalimah itu hanya khusus dalam kes di Sarawak.

“Sarawak kita faham dulu tak terikat dengan keputusan negeri-negeri, dia tak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, tak boleh.

“Ini (kalimah ‘Allah’) khusus untuk Sarawak yang kita dah kalah dalam kes awal kerana di Sarawak memang diputuskan oleh negeri begitu rupa, kita kena faham,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga Tanjung Minyak, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Anwar (tengah) hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga Tanjung Minyak, Melaka, hari ini.

Ahad lalu media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Notis berkenaan, menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan menyatakan notis pemberhentian berkenaan sudah direkodkan Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.