Fadhlina Sidek. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2023.

MELAKA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 10 inisiatif yang menjadi fokus baharu kementerian sempena Sambutan Hari Guru 2023 hari ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kesemua prakarsa itu diharap dapat membantu memperkasa kebajikan guru, mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antaranya, kata beliau, KPM dengan kerjasama rakan strategik menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik.

“Program ini ditawarkan melalui potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (Tourism Malaysia), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Airasia, Traveloka, dan Bank Rakyat.

“Selain menghargai sumbangan guru menerusi peluang pakej percutian menarik, inisiatif ini turut dapat mempromosikan destinasi pelancongan dan merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Pelancaran akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, inisiatif lain adalah memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

“Sambutan Hari Guru tahunan mulai tahun ini akan disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja sekaligus memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

“Kita juga bersetuju memberi kebenaran dan kelonggaran kepada guru di semua institusi pendidikan bawah KPM memakai baju korporat rasmi KPM bagi memberi keselesaan semasa bertugas,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, tujuh prakarsa lain adalah penambaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2002 Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, peluasan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan sepuluh buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli.

Ia termasuk Perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah dan akan bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan.

“KPM juga akan mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia, mempertingkatkan peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam memperkasa profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru serta penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0,” katanya – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kerajaan telah memperuntukkn cuti rehat bagi guru sebanyak 15 hari. Tapi apa yg menyedihkn ,cuti rehat tersebut amat sukar di pohon dan d luluskan oleh Guru besar walaupn hanya sehari. ingin saya bertanya, kenapa sukar sangat gurubesar meluluskan permohonan cuti rehat kami walaupn sehari. ingin penjelasan

Comments are closed.