Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. Foto HAZROL ZAINAL, 29 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan meneruskan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kes tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melalui Ops Hire 2.0.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tangkapan yang dibuat oleh SPRM semalam merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik antara PERKESO dan SPRM untuk menangani pemalsuan tuntutan PenjanaKerjaya dalam Ops Hire yang dijalankan pada Julai 2022.

“Ini merupakan usaha yang berterusan untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab dan PERKESO difahamkan banyak lagi tangkapan yang akan dibuat dalam masa terdekat ini.

“PERKESO yang melaksanakan pemantauan, penganalisian data dan risikan berterusan telah mendapati ada majikan yang mengemukakan tuntutan palsu insentif PenjanaKerjaya.

“Hasil daripada pemantauan dan risikan ini, senarai individu dan syarikat yang dikenal pasti diserahkan kepada SPRM untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan dalam Ops Hire 2.0 adalah lebih luas meliputi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, berbanding Ops Hire yang dilaksanakan sebelum ini yang hanya bertumpu di Semenanjung.

Menurutnya, kedua-dua operasi yang dilaksanakan secara bersepadu antara PERKESO dan SPRM bermatlamat untuk membanteras penyelewengan dana Kerajaan.

Sehingga kini, Ops Hire telah menyelamatkan lebih daripada RM500 juta dana insentif PenjanaKerjaya daripada disalah guna majikan.

Kata Mohammed Azman, selain penguatkuasaan, PERKESO juga mengukuhkan lagi sistem dalaman, proses dan tadbir urus serta mengetatkan kawalan prosedur sedia ada untuk memastikan hanya pihak yang layak mendapat insentif tersebut.

“PERKESO juga mengambil tindakan penggantungan bayaran setelah disyaki tuntutan palsu, berdasarkan penganalisian data dan pemantauan.

“Tuntutan sivil terhadap pihak terbabit juga dilaksanakan untuk mendapatkan semula dana yang disalah gunakan.

“PERKESO menasihatkan majikan dan penyedia latihan yang telah membuat tuntuan palsu PenjanaKerjaya supaya menyerahkan semula bantuan insentif tersebut kepada PERKESO dengan segera kerana tindakan penguatkuasaan SPRM dalam Ops Hire 2.0 masih berterusan,” ujar beliau.

Tegasnya, kerjasama antara PERKESO dan SPRM dalam membanteras penyelewengan dana insentif Kerajaan itu bermula sejak Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) diperkenalkan pada 2020. – MalaysiaGazette