Dari kiri (belakang) Noraini Ahmad, Rubiah Wang dan Abdullah Zainal bersama-sama kanak-kanak yang mendapat duit raya.-Foto RISDA

KUALA LUMPUR – Pekebun kecil perlu merebut baki 10,000 hektar bagi Program Tanam Semula Getah.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, separuh daripada keseluruhan sasaran berjumlah 20,000 hektar untuk tahun 2023 telahpun dipohon dan diluluskan.

“Program Tanam Semula Getah menawarkan bantuan sehingga RM14,955 sehektar dengan memperluaskan skop bantuan kepada pemilik tanah kosong atau tanah selain bertanam getah bagi mencapai sasaran 20,000 hentar pada tahun ini melalui peruntukan sebanyak RM191.3 juta.

“Melalui inisiatif ini pemilik tanah dengan keluasan di bawah 40 hektar boleh meningkatkan pendapatan melalui bantuan utama dan bantuan sokongan yang ditawarkan,” katanya dalam sidang akhbar.

Tiga negeri tertinggi memohon menyertai program tanaman semula itu adalah Sarawak, Pahang dan Kedah serta melibatkan lebih 6,000 peserta.

Program itu dibuka kepada pemilik tanah kosong bagi meningkatkan keluasan tanaman getah negara.

Rubiah sebelum itu hadir Majlis Sambutan Hari Raya yang dianjurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Turut hadir Pengerusi Risda, Datuk Seri Dr. Norani Ahmad dan Ketua Pengarah Risda, Datuk Abdullah Zainal.

Sementara itu Abdullah berkata, pihaknya belum menerima apa-apa rungutan daripada pekebun getah berhubung kesan fenomena El-Nino dan cuaca kering yang melanda negara sekarang.

Bagaimanapun pekebun berhadapan dengan pokok getah yang dijangkiti kulat pestalotiopisis.

“Pokok mengalami luruhan daun, apabila luruhan daun berlaku bermakna hasil dan produktiviti dijangka akan menurun sehingga ke 50 peratus daripada asal.

“Kita sedang merangka dan berterima kasih kepada kerajaan untuk rawatan penyakit ini.

“Pada tahun ini kita diberi matlamat lebih 25,000 hektar bebas penyakit pestalotiopisis,” kata Abdullah.

Menurutnya, Risda merima bantuan berkala daripada kerajaan setiap tahun untuk rawatan penyakit tersebut sejak dua tahun lalu.

Untuk rekod Risda melalui Belanjawan 2023 menerima peruntukan RM676.4 juta untuk pemerkasaan 552,543 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Sebanyak RM44.4 juta diperuntukan bagi Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) bagi menambah pendapatan pekebun selain hasil getah melibatkan sektor perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian dengan bantuan maksimum RM20,000.

Risda turut memperuntukan RM30 juta bagi Program Agromakanan kepada 1,5000 pekebun bagi meluaskan skop pendapatan melibatkan tanaman jangka pendek dan ternakan secara individu, berkelompok atau rakan strategik.-MalaysiaGazette