Anggota bomba mencari seorang remaja dipercayai lemas ketika mandi di D'Kasai Riverside (Monkey Rock), Penempatan Orang Asli, Kampung Gabong di sini ketika mandi bersama tiga rakannya hari ini.

BENTONG – Seorang remaja lelaki dipercayai lemas ketika mandi di D’Kasai Riverside (Monkey Rock), Penempatan Orang Asli, Kampung Gabong di sini ketika mandi bersama tiga rakannya hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dalam kejadian pukul 5. 10 petang itu,tiga rakan mangsa dilaporkan selamat.

Menurutnya, mangsa dikenali Muhammad Syafiq Akmal Zaidi, 17, yang tinggal di Felda Lakum, Lanchang telah pergi kawasan itu bersama rakannya.

“Mangsa dipercayai terjatuh dan telah dibawa arus, anggota bomba telah bertindak melakukan pencarian dengan teknik pencarian di permukaan air serta menggunakan grappling iron,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 10 orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat kejadian – MalaysiaGazette