Suspek wanita yang ditahan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat mendera seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dan kanak-kanak perempuan 11 bulan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya terkesan dua video tular di media sosial semalam.

Dalam rakaman berdurasi 48 saat dan 39 saat itu, seorang perempuan telah mengasari seorang bayi dan kejadian berlaku di sebuah taska di kawasan Mutiara Rini, Johor Bahru.

Kamarul Zaman berkata, tangkapan wanita berusia 21 tahun itu dibuat pada jam 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.

Permohonan reman akan dibuat pada hari ini di Mahkamah Johor Bahru.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette