Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Seramai 3,000 bakal jemah haji tahun ini, khususnya kumpulan B40 dan M40 di di Selangor bakal menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM1.653 juta melalui Insentif Haji Muassasah 1444H / 2023M.

Katanya, sumbangan itu diberikan kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada pemohon yang menepati syarat kelayakan.

“Setiap jemaah yang memohon dan menepati syarat kelayakan akan diberikan wang tunai sebanyak RM500 serta kit syifa termasuk ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen, serta pelembab bibir.

“Permohonan akan dibuka bermula Jumaat, 19 Mei 2023 hingga 25 Ogos 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi memudahkan proses pendaftaran, urusan permohonan akan dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri dan akan diselaraskan oleh MBI selaku pelaksana program.

“Para jemaah yang layak memohon semestinya berwarganegara Malaysia dan melampirkan salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang mengandungi kenyataan bayaran haji serta salinan jadual penerbangan.

“Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing melalui pautan https://bit.ly/3ByFSxm

“Saya mengharapkan usaha ini dapat memudahkan urusan perjalanan bagi jemaah yang bakal meraikan dhuyufurrahman tahun ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette