Nuridah Salleh
Nuridah Mohd Salleh

KUALA LUMPUR – Sifat berdiam diri Kerajaan Perpaduan berhubung penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes kalimah Allah mendapat kritikan sayap Muslimat Pas.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, pihaknya mempersoalkan sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada merujuk kepada merujuk institusi diraja terlebih dahulu sebelum membuat keputusan tersebut.

“Adakah KDN telah melaksanakan konsultasi dengan pemegang taruh melibatkan institusi-institusi agama Islam sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan?, soal Nuridah.

Beliau berkata demikian merujuk keputusan kerajaan yang tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes perlu dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Keputusan untuk merayu adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambah Nuridah, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya meremehkan isu besar umat Islam dengan mengkesampingkan pendapat pemegang taruh termasuk institusi diraja.

“Perasaan umat Islam langsung tidak diambil kira, seolah-olah isu ini hanya picisan yang bisa dilupakan.

“Muslimat Pas begitu terkilan dengan penarikan balik rayuan ini yang membuktikan bahawa Kerajaan Madani bukanlah Kerajaan yang boleh dijadikan sandaran harapan umat Islam negara ini,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah “Allah” tidak diteruskan kerana keputusan kes itu berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama. – MalaysiaGazette