KUALA LUMPUR – Kadar inflasi 2022 meningkat kepada 3.3 peratus (2021: 2.5%) dengan mata indeks mencatatkan 127.2 berbanding 123.1 pada tahun sebelumnya didorong oleh makanan & minuman (5.8%), restoran &hotel (5.0%), pengangkutan (4.7%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.5%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi 2022 juga seiring dengan kenaikan harga majoriti komoditi, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (USD) berbanding mata wang utama dan ketegangan geopolitik antara Rusia dan Ukraine.

Kenaikan ketara direkodkan oleh semua subkumpulan makanan & minuman dan mencatatkan kenaikan antara 2.9 peratus hingga 8.6 peratus.

Selain itu, kejadian seperti banjir dan tanah runtuh juga telah menyebabkan gangguan dalam bekalan produk pertanian, menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga.

“Dalam usaha pemulihan ekonomi yang dilanda pandemik COVID-19, kerajaan telah membuka semula sektor pelancongan pada April 2022 kepada pelancong antarabangsa dari negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

“Ini telah memberi kesan kepada inflasi restoran & hotel yang mencatatkan peningkatan 5.0 peratus pada 2022 berbanding 0.4 peratus yang dicatatkan pada 2021. Sepanjang tahun 2022, inflasi tertinggi dicatatkan pada Ogos 2022 (4.7%).

“Ini disebabkan oleh kesan asas yang lebih rendah pada 2021 berikutan diskaun bil elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Negara (PEMULIH) dari Julai hingga September 2021,” katanya.

Bagi menangani kenaikan kos sara hidup, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital pada
penghujung Jun 2022.

Salah satu daripada langkah intervensi yang diperkenalkan adalah penetapan harga siling minyak masak dalam botol 2 kilogram, 3 kilogram dan 5 kilogram secara bulanan bermula pada 8 Ogos 2022.

Harga siling ini adalah berdasarkan harga bulanan bagi satu tan metrik Minyak Sawit Mentah (MSM) yang diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Selain itu, inflasi pada 2022 turut disumbangkan oleh perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (2.3%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.0%) dan perumahan, air,
elektrik, gas & bahan api lain (1.8%).

Walaupun terdapat peningkatan dalam majoriti item dalam bakul IHP, terdapat 17.0 peratus item yang mencatatkan penurunan dan kekal tidak berubah dan secara tidak langsung meredakan inflasi.

Antara barangan yang menunjukkan penurunan harga adalah halia (-15.7%), rambutan (-3.9%) dan tali pinggang (-3.6%), manakala tambang LRT, caj pembetungan dan majalah kekal tidak berubah.

Kumpulan makanan & minuman yang merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan isi rumah di Malaysia dengan sumbangan 29.5 peratus daripada wajaran IHP terus meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Inflasi kumpulan ini merekodkan kenaikan 5.8 peratus pada 2022 (2021: 1.7%).

Sebanyak 90.0 peratus barangan makanan mencatatkan kenaikan harga dengan komponen Makanan di rumah yang meningkat 5.3 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2021.

Sementara itu, makanan di luar rumah juga meningkat 6.6 peratus (2021: 1.4%).

Inflasi bagi restoran & hotel meningkat ketara sebanyak 5.0 peratus kepada 139.5 pada tahun 2022 berbanding 132.9 pada 2021.

Subkumpulan perbelanjaan di restoran & kafe meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding 0.8 peratus pada 2021.

Kenaikan kopi/ nescafe (7.4%), minuman bermalt (7.3%) dan teh (6.0%) merupakan penyumbang utama kepada kenaikan subkumpulan ini disebabkan oleh kenaikan harga input bahan minuman seperti susu pekat yang memberi tekanan kepada peniaga untuk menaikkan harga minuman.

Selain itu, subkumpulan perkhidmatan penginapan turut merekodkan peningkatan 3.7 peratus berbanding negatif 1.8 peratus yang direkodkan pada 2021 selari dengan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April 2022.

Selain itu, inflasi bagi pengangkutan menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan iaitu 4.7 peratus pada 2022 berbanding 2021 (11.0%) disumbangkan oleh subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian yang menyederhana kepada 5.8 peratus berbanding 14.1 peratus pada 2021.

Ini disebabkan oleh tamatnya kesan asas rendah berikutan penetapan harga siling petrol tanpa plumbum RON95 kepada RM2.05 seliter pada Mac 2021.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON95 pada 2022 meningkat sebanyak 1.1 peratus (RM2.05) tahun ke tahun berbanding 21.2 peratus (RM2.03) pada 2021.

Inflasi bagi hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah meningkat kepada 3.5 peratus pada 2022 berbanding 1.6 peratus yang direkodkan pada 2021 dipacu oleh peningkatan kesemua subkumpulan antara 1.1 peratus hingga 7.3 peratus.

Subkumpulan perabot, hiasan, permaidani & penutup lantai lain mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 7.3 peratus disebabkan kenaikan ketara kelas perbelanjaan perabot & hiasan rumah iaitu 8.4 peratus berbanding 5.1 peratus (2021).

Gangguan rantaian bekalan bahan mentah dan pengangkutan menyebabkan kenaikan kos operasi sekali gus memberi tekanan kepada harga bahan binaan seperti papan, besi dan paip PVC. Antara item yang merekodkan peningkatan ialah katil besi (16.9%), meja (14.6%), set meja makan (9.8%) dan set sofa (8.1%).

Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, Mohd Uzir berkata, kesemua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana tiga negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 3.3 peratus pada 2022.

Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (7.3%), Selangor (4.2%) dan Johor (3.4%). Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan peningkatan yang paling rendah iaitu 2.4 peratus.

Bagi inflasi makanan & minuman, Putrajaya mencatatkan kenaikan tertinggi 7.7 peratus diikuti oleh Selangor (7.4%), Johor (6.1%) dan Pulau Pinang (6.0%).

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan makanan & minuman nasional iaitu 5.8 peratus pada 2022 disebabkan oleh kenaikan harga ayam, telur dan minyak pada 2022 disebabkan oleh tekanan geopolitik antara Rusia dan Ukraine yang merupakan antara pengeksport bahan mentah bagi produk makanan di Malaysia seperti baja dan tepung gandum.

Daripada sudut inflasi kawasan bandar dan luar bandar, kawasan bandar merekodkan kenaikan 3.6 peratus berbanding 2.4 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Antara penyumbang utama kepada peningkatan inflasi keseluruhan ini adalah makanan & minuman (6.1%), restoran & hotel (5.3%) dan
pengangkutan (5.0%).

Selain itu, inflasi di kawasan luar bandar mencatatkan peningkatan 2.6 peratus pada 2022, peningkatan yang sama dicatatkan pada 2021 dipengaruhi oleh makanan & minuman (4.3%), pengangkutan (2.9%) dan restoran & hotel (2.9%). – MalaysiaGazette