Pasukan APMM Negeri Pahang menahan sebuah bot yang dikendalikan enam nelayan warga Thailand dalam Op Makmur pada jarak lebih kurang 27.7 batu nautika dari muara Kuala Endau petang semalam.

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot yang dikendalikan enam nelayan warga Thailand pada jarak kira-kira 27.7 batu nautika dari muara Kuala Endau, petang semalam.

Ketika ditahan bot nelayan tempatan kelas C jenis bubu itu dikendalikan nelayan warga asing yang tidak memiliki permit yang sah.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, pihaknya sedang menjalankan rondaan Op Makmur sebelum menahan bot tersebut yang sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan pada pukul 1.50 petang.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan lima kru warga Thailand berumur lingkungan 20 hingga 51 tahun yang gagal mempamerkan dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan.

”Pemeriksaan lanjut juga mendapati bot tersebut gagal mempamerkan pas lawatan kerja sementara sewaktu diperiksa.

”Tiada hasil laut ditemukan di atas bot dan kesemua kru yang ditahan bersama hasil rampasan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Kamal Ariffin, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.  – MalaysiaGazette