Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin mendakwa menteri dari DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah melibatkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Muhyiddin mendedahkan, permintaan itu dibuat ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah pemerintahan Pakatan Harapan 1.0 yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah.

“Pendirian KDN pada masa itu ialah kes ini mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang.

“Antara hujah utama KDN pada masa itu ialah penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Muhyiddin dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes perlu dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Keputusan untuk merayu adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau menegaskan, sebarang tindakan kerajaan mengenai kalimah Allah perlu menjunjung titah Raja-Raja Melayu.

“Perlu diingat bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing. Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,” kata Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu berkata, kes berkenaan wajar diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya.

Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai maka wajar bagi kerajaan meminda undang-undang berkenaan, ujarnya.

Tambah beliau, ini demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai.

Muhyiddin berkata, beliau kesal dengan keputusan kerajaan yang menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam. – MalaysiaGazette