Tiga sahabat termasuk seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan pecah masuk pejabat syarikat keselamatan sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM900,000 Februari lalu.

MELAKA – Tiga sahabat termasuk seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan pecah masuk pejabat syarikat keselamatan sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM900,000 pada Februari lalu.

Pemandu lori, Md Halim Lagis; pemandu van, Aszemi Dol dan nelayan, Musliandee Mustapa Kamal kesemuanya berusia 43 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dua individu yang masih bebas dituduh melakukan pecah dan masuk pejabat SRT-EON Security Services Sdn Bhd dan melarikan wang tunai RM900,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman TU2, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh antara pukul 12.30 tengah malam hingga 1 pagi 21 Februari lalu.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan bagi ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 setiap seorang dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Jun ini. – MalaysiaGazette