Friday, March 29, 2024
Home Utama 17,708 tiket penerbangan sehala ke Sabah, Sarawak pada harga maksimum RM300

17,708 tiket penerbangan sehala ke Sabah, Sarawak pada harga maksimum RM300

Anthony Loke Siew Fook (tengah) pada sidang media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keretapi Tanah Melayu Berhad di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR -Sebanyak 17,708 tiket penerbangan sehala dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak akan dijual pada harga maksimum RM300, tidak termasuk cukai dan fi, sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga itu ditawarkan oleh semua syarikat penerbangan tempatan untuk perjalanan pada 27, 28 dan 29 Mei ke Sabah dan 29, 30 dan 31 Mei ke Sarawak.
“Projek rintis jualan tiket dengan harga berpatutan ini adalah melibatkan sebanyak 17,708 tiket penerbangan iaitu 8,903 tiket untuk Sabah dan 8,805 tiket untuk Sarawak untuk penerbangan awal,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keretapi Tanah Melayu Berhad, di sini, hari ini.

Harga tambang maksium itu direalisasikan menerusi rundingan antara Kementerian Pengankutan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (Mavcom) dengan empat syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan MyAirlines.

Menurut Anthony, berikutan insentif itu, kerajaan menanggung kos keseluruhan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak antara RM5.8 juta hingga RM11.4 juta.

Tambah beliau, penetapan tambang maksimum tetap itu akan dilaksanakan pada jam 12.01 pagi 20 Mei ini dan orang ramai boleh membelinya melalui laman sesawang empat syarikat penerbangan terbabit.

Anthony berkata, memandangkan tiket penerbangan bagi laluan ke Johor Bahru ke Sibu bagi tempoh tiga hari sebelum perayaan Hari Gawai habis dijual, kementeriannya dengan kerjasama Batik Air akan menyediakan perkhidmatan penerbangan sewa khas dengan kekerapan sekali sehari pada tarikh-tarikh tersebut. – MalaysiaGazette