Foto yang dikongsi Anwar Ibrahim di Facebook beliau memeluk Allahyarham Prof Dr. Razali Nawawi.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa sedih pemergian pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pertama, Prof Dr. Razali Nawawi pagi ini.

Anwar berkata, allahyarham merupakan salah seorang penjana dan pendiri ABIM yang gigih bersama-sama beliau dan rakan-rakan yang lain.

Allahyarham juga antara guru dalam perjuangan beliau yang penuh berliku, katanya.

“Saya sempat menziarahi beliau minggu lalu yang sedang uzur. Semoga Allah merahmati rohnya dan memaafkan semua kesalahannya.

“Mendoakan keluarga dan insan tersayang yang ditinggalkan tabah dan dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT. Innalillahi wainnailaihirajiun,” kata Anwar dalam kenyataan di media sosial.

Razali, 83 menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.45 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.

Anwar Ibrahim dan isteri menziarahi Allahyarham ketika uzur.

Pada hujung minggu lalu, Anwar meluangkan masa menziarahi Allahyarham di kediamannya.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengiringi Anwar ketika menziarahi Razali yang merupakan rakan karib Perdana Menteri itu.

Allahyarham menjadi Presiden ABIM pertama pada 1972 dan telah memperkenalkan sistem usrah sebelum diambil alih oleh Anwar sebagai Presiden ABIM yang kedua pada 1974.

Allahyarham memainkan peranan penting dalam membentuk dan memajukan organisasi tersebut yang terus berjuang untuk kepentingan umat Islam di Malaysia.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Dekan Kulliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa dari tahun 1983 hingga 1993. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengasas, presiden pertama ABIM meninggal dunia