kalimah Allah akidah
Noh Omar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain adalah melibatkan akidah umat Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu di setiap negeri.

Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, isu tersebut bukan sekadar berkaitan dengan pentadbiran, istilah dan keselamatan.

Menurut beliau, atas sebab itu, beliau pernah mengarahkan sebuah kontena yang mengandungi kitab Injil dalam bahasa Indonesia yang menggunakan kalimah Allah tidak dibenarkan memasuki negara ini ketika menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 2004.

“Saya merasakan ini mungkin merupakan satu perancangan pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan yang berbentuk dakwah bagi sesuatu agama yang tertentu yang boleh mengelirukan akidah umat Islam.

“Ketika itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah satu kerajaan yang kuat dan mempunyai sokongan 198 ahli Parlimen di Dewan Rakyat iaitu sokongan lebih dua pertiga, maka tiada mana-mana pihak mempertikaikan tindakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan kementeriannya menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukan membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.

Beliau menjelaskan, ini kerana keputusan mahkamah pada 10 Mac 2021 itu dibuat bukan bersandarkan sudut teologi atau pun apa jua yang melibatkan penggunaan kalimah Allah.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Sehubungan itu, Noh menyokong kenyataan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan tersebut.

Beliau berpandangan, mahkamah adalah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai isu kalimah Allah.

“Sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada rayuan KDN maka Kerajaan Madani boleh meminda undang-undang sedia ada agar perkataan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baharu yang mempunyai maksud yang sama.

“Walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan, ia boleh dijadikan panduan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk meminda atau membuat enakmen baharu berkaitan isu ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette